Thursday, December 8, 2011

TUGASAN 3: SAJAK DIRGAHAYU BAHASAKU

TUGASAN 3: SET INDUKSI

TUGASAN 3: RANCANGAN PELAJARAN HARIAN

Rancangan Pelajaran Harian

Wednesday, October 26, 2011

KARANGAN CEMERLANG

KARANGAN BAHAGIAN A

CONTOH KARANGAN CEMERLANG

Pada era modenisasi ini, manusia sering mengejar kekayaan dan kebendaan serta kemewahan yang menyebabkan mereka alpa akan penjagaan kesihatan tubuh badan mereka sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Sebagai akibatnya, masyarakat kita sering menghidap penyakit yang berbahaya dan kronik seperti penyakit kardiovaskular, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi serta pelbagai kanser organ dalaman kita. Kajian statistik telah meramalkan bahawa 70 peratus kes kematian yang berlaku pada sepuluh tahun akan datang berpunca daripada penyakit-penyakit kronik seperti kanser paru-paru, diabetes, penyakit buah pinggang serta penyakit kardiovaskular yang berpunca daripada cara pemakanan dan amalan hidup yang tidak sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan merupakan aspek kehidupan yang amat penting.

Langkah perdana untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Makanan yang seimbang lazimnya mengandungi kandungan serat atau fiber yang tinggi serta mampu memudahkan proses pencernaan dalam tubuh badan kita. Hal ini penting untuk mengelakkan kita daripada menghadapi masalah sembelit. Sesungguhnya, kita harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan berpandukan piramid makanan. Piramid makanan menentukan kuantiti dan komposisi pelbagai kelas makanan yang perlu kita ambil. Makanan yang seimbang merangkumi tujuh kelas makanan yang diperlukan dalam kuantiti yang optimum. Misalnya, karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin, zat-zat yang berkhasiat seperti zat besi dan kandungan air yang mencukupi. Menurut pakar kesihatan, kita harus minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk memastikan kesihatan tubuh badan kita terjamin. Kita juga harus mengelakkan makanan segera dan makanan makanan ringan yang tidak mengandungi nutrien serta memudaratkan kesihatan kita. Kita harus berpegang kepada prinsip makan untuk hidup dan bukannya untuk makan.

Selain itu, kita harus menjalankan pemeriksaan badan atau kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Pada era moden ini, pakar-pakar perubatan dunia mahupun tempatan telah berjaya mencari penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Jikalau kita kerap menjalankan pemeriksaan kesihatan, kita mungkin dapat mengesan tanda-tanda awal sesuatu penyakit yang boleh diubati jika pemeriksaan dilakukan lebih awal. Selain itu, kita juga boleh berjumpa dengan pakar-pakar kesihatan untuk mengetahui pelbagai tip tentang gaya hidup sihat. Bukan itu sahaja, kita juga boleh neminta tunjuk ajar doktor wanita ataupun jururawat yang ada di klinik untuk melakukan pemeriksaan payu dara dengan sendiri. Hal ini mustahak kepada semua kaum wanita kerana kanser payu dara dianggap sebagai pembunuh senyap kaum wanita dan telah mengorbankan nyawa yang banyak.

”Badan cergas, otak cerdas”. Slogan ini jelas memberitahu kita bahawa peri pentingnya badan yang cergas untuk melahirkan minda yang cerdas. Oleh itu, masyarakat kita seharusnya menjaga kesihatan diri masing-masing dengan bersenam dan bersukan. Kita hendaklah melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Jikalau boleh, kita harus melakukan pelbagai bentuk senaman yang mampu mengerakkan otot-otot kita misalnya berjoging, berenang mahupun bermain badminton, bola sepak dan sebagainya. Bersenam sememang mampu meningkatkan sistem keimunan dan sistem peredaran darah kita. Namun, apa yang menyedihkan ialah pelbagai automasi yang wujud pada era moden ini menyebabkan manusia menjadi malas. Persoalannya siapakah yang memulakan kehidupan harian dengan aktiviti senaman ringan?” Tepuk dada, tanyalah selera. Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini hanya perlu menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan perkhidmatan transit aliran ringan serta memandu kereta sendiri untuk sampai di tempat kerja atau sekolah atau mana-mana sahaja. Masyarakat kini kurang bergerak atau berjalan dan amalan sebegini boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, masyarakat kita harus berusaha mengikis tabiat yang negatif.

Akhir sekali, masyarakat harus tidur dan dan rehat yang cukup supaya dapat memulakan kehidupan harian dengan penuh bersemangat dan bukan sebaliknya. Oleh yang demikian, kita dapat menjamin kesihatan kita yang baik di samping memastikan kecekapan kita semasa bekerja ataupun semasa bersekolah. Kita juga boleh meminum segelas susu sebelum tidur untuk memastikan kita tidur dengan lena. Selain itu, kita patut tidur awal dan bangun awal untuk mengelakkan keletihan yang berlebihan. Kita juga boleh meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga kita untuk berehat pada hari Ahad atau Sabtu dengan menjalankan aktiviti riadah. Hal ini boleh diibaratkan sambil menyelam minum air.

Tuntasnya, kesibukan yang baik merupakan anugerah daripada Yang Maha Kuasa yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, kita harus menjaga kesihatan kita. Dengan kesihatan yang baik, barulah kita dapat membangunkan negara dengan cekap dan bijaksana. Rakyat yang sihat mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan menyumbang ke arah pembangunan negara. ”Rakyat Sihat, Negara Makmur ”. Semua pihak patut berusaha untuk mewujudkan rakyat yang cergas dan cerdas agar mampu bersaing dengan negara lain di persada dunia dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Thursday, October 20, 2011

TEKNIK PENGEMBANGAN ISI KARANGAN

SOALAN CONTOH

Usaha menangani kemelut ekonomi menuntut komitmen dan pengorbanan semua pihak terutamanya institusi keluarga.
Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang patut dilaksanakan secara berterusan oleh anggota keluarga untuk menangani masalah yang melanda negara kini.

FOKUS SOALAN
Cara atau usaha-usaha anggota keluarga ( ibu, bapa dan anak-anak ) untuk menangani masalah yang melanda negara kini (kemelut ekonomi).

ISI-ISI CADANGAN:
Perenggan Isi Usaha 1 : Menabung
Perenggan Isi Usaha 2 : Merancang perbelanjaan
Perenggan Isi Usaha 3 : Mencari sumber kewangan baru
Perenggan Isi Usaha 4 : Mengelakkan pembaziran
Perenggan Isi Usaha 5 : Memantapkan disiplin kelua

PENGEMBANGAN ISI

Untuk mengembangkan isi, cubalah guna formula atau rumus ini.

FORMULA / RUMUS PENGEMBANGAN ISI
ATAH (5W 1H 1F) pb ACAS

AT ( Ayat Topik ) Isi utama
AH ( Ayat Huraian ) apa, siapa, bila, di mana, mengapa( 5W ), bagaimana (1H) dan sekiranya (1F)
PB(Peribahasa)
AC ( Ayat Contoh ) Contoh yang berkaitan dengan isi
AS ( Ayat Simpul ) Kesimpulan isi

CONTOH APLIKASI RUMUS
 Menabung

(AT) Menabung merupakan aktiviti tradisi yang kita warisi sejak zaman nenek moyang lagi tetapi caranya sahaja yang berbeza.

(AH 1) Aktiviti ini perlulah dihidupsuburkan bagi menghadapi kemelut ekonomi yang melanda negara. (Apa yang harus dilakukan ?)

(AH 2) Kita pasti berasa terjamin terutama sekali pada masa kecemasan sekiranya tabungan sudah memadai.
( Mengapa? )

(AH 3) Sementara itu, menabung tiga puluh peratus daripada pendapatan sangatlah digalakkan kerana jumlah ini dianggap berpatutan. ( Bagaimana ?)

(AH 4) Kita semua tentu sependapat bahawa kepentingan menabung perlu ditekankan kepada setiap anggota keluarga sejak zaman kanak-kanak lagi. ( Bila ?)

(AH 5) Pelbagai bentuk tabung telah direka dan ditawarkan oleh bank-bank atau institusi kewangan untuk menarik perhatian kanak-kanak menabung.
( Siapa ? )

(AH 6) Sekiranya setiap anggota keluarga memberikan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti menabung, tentulah kemelut ekonomi akan dapat diatasi. ( Sekiranya )

(AC) Sebagai contoh, kita boleh menyimpan di bank dalam bentuk simpanan tetap, simpanan semasa atau melabur dalam dana tertentu. ( Di mana ? )

(AS) Jadi, pepatah nenek moyang kita yang berbunyi beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis patutlah dijadikan amalan hidup dan pegangan yang berterusan.(Sisipan peribahasa)

CONTOH APLIKASI RUMUS

 Merancang perbelanjaan

(AT) Jika selama ini kita berbelanja mengikut cita rasa dan selera masing-masing, sudah tiba masanya untuk setiap anggota keluarga merancang perbelanjaan sewajarnya.

(AH 1) Perkara pertama yang patut dilakukan ialah mewujudkan buku catatan perbelanjaan peribadi untuk merekodkan setiap pengeluaran wang. ( Apa yang patut dilakukan ? )

(AH 2) Dalam buku tersebut akan dicatatkan apa-apa sahaja barang yang perlu dibeli pada setiap hari, minggu atau bulan dengan harganya sekali. ( Bila ? )

(AH 3) Selepas menjumlahkan perbelanjaan, sudah pasti kita akan saling mengingat semua anggota keluarga agar berjimat cermat dan memikirkan kemampuan keluarga. ( Bagaimana ? )

(AH 4) Sebenarnya , kenaikan harga barangan utama kini memaksa setiap anggota keluarga merancang dan mengatur perbelanjaan dengan cara yang bijaksana.(Bagaimana?)

(AH 5) Seandainya amalan menyenarai barangan keperluan yang patut dibeli dilaksanakan setiap kali membeli belah, tentulah masalah berbelanja melebihi kemampuan dapat dielakkan. ( Sekiranya )

(AC) Bagi ketua keluarga, misalnya utamakanlah barang makanan, ubat-ubatan dan buku-buku pendidikan yang menjadi keperluan asas setiap keluarga.

(AS) Dengan cara demikian, tentulah jumlah perbelanjaan dapat kita aturkan dan wang selebihnya dapatlah disimpan sebagai tabungan kerana kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

PERKARA PENTING YANG PERLU DIBERI PERHATIAN DALAM PENGEMBANGAN ISI KARANGAN CEMERLANG IALAH :

ISI CUKUP DAN BERKEMBANG
 SEKURANG-KURANGNYA 3 ISI SEBAIK-BAIKNYA 6 ISI
 GUNAKAN FORMULA YANG DICADANGKAN
ATAH (5W + 1H + I ) ACAS pb
 SUSUN ISI IKUT KEUTAMAAN
 BERIKAN CONTOH ATAU BUKTI
 PERENGGAN SEIMBANG
 ADA UNSUR KEMATANGAN ( KBKK )
 SATU ISI -SATU PERENGGAN
(Sumber: Teknik Menulis oleh Datin Mariam binti Mehad, GC BM)

Semoga para pelajar dapat mempraktikkan teknik tersebut untuk membina perenggan isi yang cemerlang. Selamat mengarang!

Wednesday, October 12, 2011

TEMA KARANGAN SPM 2011

Tema-tema yang dicadangkan untuk diberi perhatian pada tahun 2011:

1. Patriotisme
2. Pelancongan
3. Kemalangan jalan raya/ kesesakan lalu lintas
4. Pemeliharaan bangunan bersejarah/ permainan tradisional
5. Gejala sosial- kes bulu, gangsterisme/lumba haram/ponteng sekolah/penderaan kanak-kanak
6. Budaya membaca/langkah menggalakkan remaja meminati karya sastera
7. Tabungan/ langkah berjimat cermat
8. Peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial anak-anak
9. Sukan

SOALAN KARANGAN PMR 2011

Yang berikut soalan karangan PMR 2011:

Bahagian A:
-Faedah-faedah memajukan industri pelancongan

Bahagian B:

1. Perbualan tentang persiapan-persiapan yang perlu dibuat sebelum mengikuti lawatan ke
tempat yang menarik

2. Bincangkan peranan ibu bapa dalam menentukan kejayaan anak-anak mereka.

3. Ceritakan aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa sambutan Hari Guru.

4. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan agar mutu sukan negara dapat ditingkatkan.

5. Tulis sebuah cerita berdasarkan maksud peribahasa carik-carik bulu ayam.