Wednesday, October 26, 2011

KARANGAN CEMERLANG

KARANGAN BAHAGIAN A

CONTOH KARANGAN CEMERLANG

Pada era modenisasi ini, manusia sering mengejar kekayaan dan kebendaan serta kemewahan yang menyebabkan mereka alpa akan penjagaan kesihatan tubuh badan mereka sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Sebagai akibatnya, masyarakat kita sering menghidap penyakit yang berbahaya dan kronik seperti penyakit kardiovaskular, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi serta pelbagai kanser organ dalaman kita. Kajian statistik telah meramalkan bahawa 70 peratus kes kematian yang berlaku pada sepuluh tahun akan datang berpunca daripada penyakit-penyakit kronik seperti kanser paru-paru, diabetes, penyakit buah pinggang serta penyakit kardiovaskular yang berpunca daripada cara pemakanan dan amalan hidup yang tidak sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan merupakan aspek kehidupan yang amat penting.

Langkah perdana untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Makanan yang seimbang lazimnya mengandungi kandungan serat atau fiber yang tinggi serta mampu memudahkan proses pencernaan dalam tubuh badan kita. Hal ini penting untuk mengelakkan kita daripada menghadapi masalah sembelit. Sesungguhnya, kita harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan berpandukan piramid makanan. Piramid makanan menentukan kuantiti dan komposisi pelbagai kelas makanan yang perlu kita ambil. Makanan yang seimbang merangkumi tujuh kelas makanan yang diperlukan dalam kuantiti yang optimum. Misalnya, karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin, zat-zat yang berkhasiat seperti zat besi dan kandungan air yang mencukupi. Menurut pakar kesihatan, kita harus minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk memastikan kesihatan tubuh badan kita terjamin. Kita juga harus mengelakkan makanan segera dan makanan makanan ringan yang tidak mengandungi nutrien serta memudaratkan kesihatan kita. Kita harus berpegang kepada prinsip makan untuk hidup dan bukannya untuk makan.

Selain itu, kita harus menjalankan pemeriksaan badan atau kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Pada era moden ini, pakar-pakar perubatan dunia mahupun tempatan telah berjaya mencari penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Jikalau kita kerap menjalankan pemeriksaan kesihatan, kita mungkin dapat mengesan tanda-tanda awal sesuatu penyakit yang boleh diubati jika pemeriksaan dilakukan lebih awal. Selain itu, kita juga boleh berjumpa dengan pakar-pakar kesihatan untuk mengetahui pelbagai tip tentang gaya hidup sihat. Bukan itu sahaja, kita juga boleh neminta tunjuk ajar doktor wanita ataupun jururawat yang ada di klinik untuk melakukan pemeriksaan payu dara dengan sendiri. Hal ini mustahak kepada semua kaum wanita kerana kanser payu dara dianggap sebagai pembunuh senyap kaum wanita dan telah mengorbankan nyawa yang banyak.

”Badan cergas, otak cerdas”. Slogan ini jelas memberitahu kita bahawa peri pentingnya badan yang cergas untuk melahirkan minda yang cerdas. Oleh itu, masyarakat kita seharusnya menjaga kesihatan diri masing-masing dengan bersenam dan bersukan. Kita hendaklah melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Jikalau boleh, kita harus melakukan pelbagai bentuk senaman yang mampu mengerakkan otot-otot kita misalnya berjoging, berenang mahupun bermain badminton, bola sepak dan sebagainya. Bersenam sememang mampu meningkatkan sistem keimunan dan sistem peredaran darah kita. Namun, apa yang menyedihkan ialah pelbagai automasi yang wujud pada era moden ini menyebabkan manusia menjadi malas. Persoalannya siapakah yang memulakan kehidupan harian dengan aktiviti senaman ringan?” Tepuk dada, tanyalah selera. Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini hanya perlu menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan perkhidmatan transit aliran ringan serta memandu kereta sendiri untuk sampai di tempat kerja atau sekolah atau mana-mana sahaja. Masyarakat kini kurang bergerak atau berjalan dan amalan sebegini boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, masyarakat kita harus berusaha mengikis tabiat yang negatif.

Akhir sekali, masyarakat harus tidur dan dan rehat yang cukup supaya dapat memulakan kehidupan harian dengan penuh bersemangat dan bukan sebaliknya. Oleh yang demikian, kita dapat menjamin kesihatan kita yang baik di samping memastikan kecekapan kita semasa bekerja ataupun semasa bersekolah. Kita juga boleh meminum segelas susu sebelum tidur untuk memastikan kita tidur dengan lena. Selain itu, kita patut tidur awal dan bangun awal untuk mengelakkan keletihan yang berlebihan. Kita juga boleh meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga kita untuk berehat pada hari Ahad atau Sabtu dengan menjalankan aktiviti riadah. Hal ini boleh diibaratkan sambil menyelam minum air.

Tuntasnya, kesibukan yang baik merupakan anugerah daripada Yang Maha Kuasa yang tidak ternilai harganya. Oleh itu, kita harus menjaga kesihatan kita. Dengan kesihatan yang baik, barulah kita dapat membangunkan negara dengan cekap dan bijaksana. Rakyat yang sihat mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan menyumbang ke arah pembangunan negara. ”Rakyat Sihat, Negara Makmur ”. Semua pihak patut berusaha untuk mewujudkan rakyat yang cergas dan cerdas agar mampu bersaing dengan negara lain di persada dunia dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

4 comments: